Thursday, February 18, 2010

Melayu ‘Kaktus’ Singapura



“Survival of the fittest” - Herbert Spencer

Melayu ‘Kaktus’ Singapura


Pendahuluan

Setiap kejadian di bumi Allah (s.w.t) ini mempunyai fungsinya tersendiri. Flora dan fauna dijadikan dengan ciri-ciri yang istimewa. Anjing dijadikan dengan ciri yang istimewa yakni mempunyai daya hidu yang luar biasa. Tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan mempunyai ciri istimewa, iaitu digunakan dalam perubatan tradisional. Natijahnya disini, setiap kejadian di bumi ini mempunyai ciri istimewa dan berfungsi sama ada kepada manusia atau alam.

Kaktus merupakan sejenis tumbuhan yang berbatang lembut, berduri dan tidak berdaun. Keistimewaan pokok kaktus adalah penakatannya di padang pasir. Padang pasir merupakan sebuah kawasan yang menerima hujan dalam jumlah minimum. Dalam setahun, kurang daripada 250mm hujan turun. Lazimnya, tumbuh-tumbuhan tidak mampu untuk hidup di kawasan padang pasir disebabkan sumber airnya yang amat sedikit.

Pokok kaktus mampu untuk terus bertakat di padang pasir disebabkan keistimewaannya. Keistimewaan ini wajar dijadikan sumber inspirasi kepada manusia khususnya masyarakat Melayu di Singapura tentang takrif penakatan (survival). Orang Melayu Singapura harus mempunyai ciri-ciri keistimewaan seperti pokok kaktus supaya boleh terus bertakat di Singapura.


Prinsip Berjimat

Ciri pertama keistimewaan kaktus adalah daunnya yang seakan-akan jarum. Daun kaktus mempunyai stoma yang sangat kecil. Stoma ini berfungsi semasa fotosintesis yakni proses membuat makanan dengan adanya cahaya matahari dan klorofil. Stoma ini juga merupakan saluran keluar wap air (water vapour) pada daun. Secara logiknya, daun yang besar akan mempunyai stoma yang besar, oleh itu, wap air yang keluar juga dalam jumlah yang banyak. Daun kaktus yang seakan-akan jarum ini istimewa kerana wap air yang keluar dari stoma dalam jumlah yang sedikit, disebabkan itu, ia boleh hidup terus hidup di padang pasir.

Ciri daun kaktus ini harus ada pada orang Melayu di Singapura. Orang Melayu perlu mempunyai sikap berbelanja seperti stoma kaktus, iaitu berbelanja dalam jumlah minimum. Berjimat-cermat merupakan prinsip asas yang boleh menyelamatkan orang Melayu supaya terus bertakat di Singapura terutama pada masa kegawatan ekonomi. Waktu kegawatan ekonomi akan menyentak orang Melayu dengan ancaman pembuangan kerja; terutama bagi mereka yang selama ini telah tidak berjimat dengan berbelanja boros di luar kemampuan dan tidak mempunyai wang simpanan.

Sebaliknya, bagi mereka yang mempunyai sifat seperti stoma daun kaktus akan berjimat-cermat, menabung dan mempunyai simpanan. Golongan ini juga akan berbelanja mengikut kemampuan. Bagi mereka yang mengamalkan sifat ini akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengharungi cabaran yang datang. Bagi orang Melayu yang ingin terus berakat di Singapura, mereka wajib mempunyai sifat stoma daun kaktus yakni berjimat-cermat.


Prinsip Menyimpan

Ciri istimewa pokok kaktus yang kedua adalah batangnya. Batang kaktus digunakan untuk menyimpan air. Air yang disimpan di batang kaktus akan bertukar kepada bahan berlendir supaya ia tidak sejat secepat air. Disebabkan ini, pokok kaktus dapat hidup di padang pasir.

Orang Melayu di Singapura juga harus mempuyai ciri seperti batang kaktus yang dapat menyimpan air. Dalam konteks ini, orang Melayu harus belajar cara-cara untuk menyimpan duit, mengumpul harta dan melabur untuk menambahkan aset. Untuk terus maju di Singapura, orang Melayu harus bijak dari segi menilai sesuatu pelaburan. Hakikatnya, orang Melayu suka melabur membeli kereta baru atau kereta besar. Pelaburan ini adalah pelaburan yang merugikan disebabkan aset membeli kereta itu akan susut nilainya tahun demi tahun.

Orang Melayu di Singapura digalakkan untuk melabur di dalam bank atau membeli harta seperti rumah, kedai atau tanah. Pelaburan yang selamat dan membawa pulangan yang lebih adalah membeli aset seperti rumah. Dalam jangka masa yang panjang, nilai harga rumah akan bertambah. Konsep ini sama seperti bantang kaktus dimana air akan bertukar menjadi lendir. Dalam konteks ini, duit akan berganda dalam jangka masa yang panjang dan bertukar menjadi aset jikalau orang Melayu di Singapura pandai mengurus wang dan pandai membuat pelaburan yang baik. Cara yang kedua adalah melabur di dalam bank. Pelaburan di dalam bank merupakan pelaburan yang paling selamat dan terjamin. Namun demikian, pulangannya tidak begitu lumayan. Walau bagaimanapun, orang Melayu wajib memupuk sikap menyimpan sama ada menyimpan duit di dalam bank atau mengumpul harta. Duit simpanan adalah penting khusunya bagi mereka yang sudah berkeluarga. Bagi mereka yang berkeluarga, wang simpanan boleh dilaburkan dalam pendidikan anak-anak.


Kepentingan Pendidikan

Kulit kaktus istimewa kerana ia lut cahaya dan berfungsi sebagai pertahanan daripada kulat dan bakteria. Kulit kaktus mempunyai dua bahagian. Pertama epidermis, iaitu lapisan kulit yang tipis dan hipodermis, iaitu lapisan yang terbentuk dibawah epidermis. Lapisan bukan sel yang dikenali sebagai kutikel menyelubungi epidermis kaktus. Kutikel ini yang membantu mengurangkan kehilangan wap air pada kaktus. Disebabkan ini, pokok kaktus dapat hidup di padang pasir.

Konsep kutikel pada kaktus ini boleh dijadikan sumber inspirasi bagi penakatan orang Melayu di Singapura. Dalam konteks ini, kutikel adalah pendidikan. Untuk bertakat di Singapura, pendidikan memainkan peranan utama. Ini disebabkan Singapura adalah sebuah negara yang berteraskan meritokrasi. Meritokrasi adalah sistem sosial yg menyanjung tinggi kedudukan seseorang kerana kebolehannya. Pencapaian pendidikan merupakan kayu ukur bagi melihat kebolehan seseorang. Orang Melayu di Singapura wajib melihat pendidikan sebagai wadah utama khususnya bagi mereka yang ingin keluar dari lingkaran kemiskinan.

Masalah orang Melayu adalah mereka tidak melihat kepentingan pendidikan. Misalnya, kadar kelulusan murid Melayu di peringkat PSLE merosot daripada 58.9 peratus pada tahun 2006 kepada 56 peratus pada tahun lalu. Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, baru-baru ini juga turut mendedahkan satu masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu yakni kelemahan murid-murid Melayu dalam subjek matematik. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya. Oleh itu, orang Melayu tidak boleh melihat kelemahan dalam pendidikan sebagai penghambat kepada kemajuan. Jikalau orang Melayu memupuk sikap positif yakni mementingkan pendidikan dan melabur dalam pendidikan anak-anak, tidak mustahil bahawa prestasi pendidikan anak Melayu berada pada tahap lebih baik berbanding sekarang.

Natijahnya, keutamaan pendidikan amat penting di Singapura. Untuk terus bertakat di Singapura, orang Melayu wajib mempunyai pendidikan yang tinggi. Pendidikan tinggi akan menjamin kerjaya yang stabil sekaligus menjamin masa depan yang sempurna.


Kepentingan Usaha

Pokok kaktus mempunyai akar sepanjang tiga puluh inci. Akar yang panjang ini bertanggungjawab untuk berusaha mencari galian air dalam tanah di padang pasir. Ciri istimewa mengenai akar kaktus adalah ia boleh mengecut untuk menghalang air yang tersimpan di dalam akar supaya tidak terlepas ke dalam tanah. Keistimewaan akar kaktus ini menyumbang kapada penakatan kaktus di padang pasir.

Manusia khususnya orang Melayu di Singapura harus mempunyai sifat seperti akar pokok kaktus, iaitu berusaha. Dalam konteks agama, Islam menyuruh umatnya berusaha. Firman Allah s.w.t dalam surah An-Najm, ayat 39 hingga 41:

“Dan bahawasanya manusia tiada memperoleh sesuatu melainkan apa yang dia usahakan, dan segala usahanya itu kelak akan diperlihatkan, kemudian dia akan dibalas dengan balasan yang sempurna.”

Orang Melayu di Singapura mesti berusaha dan terus berusaha untuk meningkatkan lagi taraf kehidupan mereka. Orang Melayu yang ingin terus hidup di Singapura tidak boleh berpeluk tubuh sahaja. Mereka perlu merancang dan berusaha untuk menambah ilmu dan mempertingkat kemahiran diri. Misalnya, lima tahun dahulu, pendapat bagi pegawai keselamatan hanya $800 hingga $900. Hakikatnya, pada hari ini, pendapat pegawai keselamatan dua kali ganda, kepada $1600 sebulan. Ini disebabkan, pegawai keselamatan kini diiktiraf oleh National Skills Recognition System. Setiap pegawai keselamatan harus menjalani kursus untuk mempertingkatkan diri mereka. Orang Melayu juga harus sentiasa mempertingkat diri mereka untuk terus kekal dalam pekerjaan yang mereka lakukan.

Bagi golongan yang berniaga pula harus berusaha untuk memajukan perniagaan mereka. Misalnya, perusahaan kecil dan sederhana (SME) harus mengambil peluang yang dilakarkan oleh pemerintah Singapura. Pemerintah Singapura telah melakarkan pelan yang merangkumi pembelanjaan sebanyak 1.5 bilion dalam jangka masa sepuluh tahun bagi perusahaan kecil dan sederhana untuk mengembangkan perusahaan mereka ke luar negara. Banyak perusahaan tidak dapat mengembangkan perusahaan mereka disebabkan tidak mempunyai modal yang mencukupi. Ini merupakan masalah yang di hadapi oleh perusahaan Melayu di Singapura. Kekurangan modal menghambat mereka untuk mengembangkan peusahaan mereka. Oleh itu, pelan yang dilakarkan oleh pemerintah ini bukan sahaja satu peluang malah sebagai batu lonjatan bagi perusahaan Melayu untuk mengembangkan perusahaan mereka di mata dunia.

Orang Melayu di Singapura harus sentiasa berusaha untuk mempertingkat taraf kehidupan mereka. Untuk terus bertakat di Singapura, faktor usaha ini amat penting supaya orang melayu dapat sentiasa bersaing untuk memajukan diri sendiri dan memperoleh kehidupan yang sempurna dan terjamin.


Perlindungan

Kaktus mempunyai duri yang halus dan tajam. Duri kaktus ini memberi perlindungan daripada binatang-binatang lain yang ingin mengambil air yang tersimpan di dalam batang kaktus. Namun, keistimewaan duri kaktus ini adalah ia boleh memantul cahaya supaya supaya suhu pokok kaktus berada pada tahap terendah. Keisitmewaan duri kaktus ini menyumbang kepada daya penakatan pokok kaktus di padang pasir.

Dalam konteks kemanusiaan, orang Melayu perlu mempunyai perlindungan supaya boleh terus bertakat di Singapura. Perlindungan dalam konteks ini boleh dibahagikan kepada beberapa. Pertama, perlindungan untuk diri sendiri. Orang Melayu digalakkan untuk mengambil insurans. Terdapat beberapa insurans yang ditawarkan. Misalnya, insurans pendidikan yang merupakan cara menabung dengan menyediakan sejumlah wang. Lazimnya, wang ini akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada pembelanjaan pendidikan anak-anak. Dengan mengambil insurans pendidikan, kos pendidikan anak-anak sudah terjamin.

Dalam konteks Singapura, perlindungan bermaksud masa depan yang terjamin. Orang Melayu boleh mempunyai perlindungan yang sempurna jikalau mereka rajin berusaha. Menurut Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam, seseorang pekerja harus mempunyai ‘T-shaped skills’ yakni mempunyai pengalaman yang mendalam dalam bidang kerjaya mereka dan sekaligus mempunyai pengalaman yang meluas misalnya dalam bidang pentadbiran, kewangan dan perusahaan. Tuntasnya, orang Melayu harus berusaha untuk mendapatkan perlindungan supaya tidak diancam oleh pembuangan kerja. Untuk mendapatkan perlindungan dari segi kerjaya, orang Melayu wajib mempunyai faktor ‘T-shaped skills’. Untuk mendapatkan faktor ini, orang Melayu harus sentiasa mempertingkatkan kemahiran diri dalam semua bidang bak umpama Melayu, sediakan payung sebelum hujan.


Penutup

Pokok kaktus boleh terus hidup di padang pasir kerana mempunyai ciri-ciri yang istimewa yang diberikan Allah Azzawajjala. Manusia juga diberikan keitimewaan oleh Allah s.w.t. yakni akal. Orang Melayu di Singapura perlu menggunakan akal fikiran supaya dapat terus bertakat di Singapura. Dengan menggunakan akal ini, orang Melayu boleh mempunyai ciri-ciri keistimewaaan seperti pokok kaktus. Justeru penakatan kaktus di padang pasir boleh dijadikan sumber inspirasi kepada manusia khususnya penakatan orang Melayu di Singapura.


Rujukan

Cactus Survival from http://www.cactusmuseum.com/survival.asp

Desert from http://en.wikipedia.org/wiki/Desert

The Big Shift, The Straits Times dated 2 Febuary 2010

The Straits Times dated 2 Febuary 2010, Big Financial Helping Hand to Grow SMEs

________________________________, Guards Secure More Pay With Training

________________________________, Wanted: Workers with ‘T-shaped skills’

Speech by Dr Yaacob Ibrahim, Minister for the Environment and Water Resources & Minister-in-charge of Muslim Affairs at the FY 2009 Committee for Supply Debate, 11 February 2009 from http://app2.wda.gov.sg/web/contents/Contents.aspx?Yr=2009&ContId=752

SPEECH BY MR MASAGOS ZULKIFLI MASAGOS MOHAMAD (SENIOR PARLIAMENTARY SECRETARY (EDUCATION AND HOME AFFAIRS) AT THE SECOND SESSION OF THE 11TH PARLIAMENT OF SINGAPORE 26 MAY 2009 from http://www.straitstimes.com/STI/STIMEDIA/pdf/20090526/Masagos%20Parliament%20Speech%2026May09%20Draft%20v.4.pdf

No comments:

Post a Comment