Saturday, January 8, 2011

Kumpulan-kumpulan Sajak

Sila lungsuri lelaman: http://asas50.com/ariffrizwansahab

Semua sajak terkini dimuat naik di lelaman di atas ini.

Thursday, September 23, 2010

Tuesday, June 22, 2010

Formasi Piala Dunia Memupuk Minda Strategik


"In real life, strategy is actually very straightforward. You pick a general direction and implement like hell"


Jack Welch in Winning, 2005

 

Formasi Piala Dunia Memupuk Minda Strategik

 

Piala Dunia

Piala Dunia FIFA (Federation Internationale de Football Association) atau lebih dikenali sebagai Piala Dunia, merupakan pertandingan yang paling penting dalam dunia sukan bola sepak. Piala Dunia ini diadakan setiap empat tahun sekali semenjak tahun 1930, kecuali pada tahun 1942 dan 1946 disebabkan Perang Dunia Kedua[i]. Namun, perlawanan piala dunia merupakan kejohanan yang sentiasa dipertandingkan. Ini disebabkan pertandingan kelayakan mengambil masa selama tiga tahun.

            Fasa pertandingan akhir atau pusingan terakhir Piala Dunia lazimnya melibatkan sebanyak 32 pasukan kebangsaan yang akan bertanding selama empat minggu. Perlawanan selama empat minggu ini akan diadakan di negara tuan rumah. Pada 2010, negara tuan rumah bagi Piala Dunia adalah Afrika Selatan. Piala Dunia merupakan kejohanan yang paling ramai penontonnya. FIFA menganggarkan seramai 26 billion khalayak penonton (cumulative audience of the 64 matches), menonton Piala Dunia[ii].  Misalnya, di negara China di anggarkan seramai 34 juta rakyatnya menonton perlawanan pembukaan bola sepak Piala Dunia 2010[iii].

            Ternyata bahawa Piala Dunia telah mendapat tempat di hati penonton di merata dunia. Salah satu sebab mengapa Piala Dunia diminati dan ditonton ramai adalah strategi permainan yang berbeza bagi setiap negara. Negara yang mempunyai strategi yang tepat merupakan negara yang bakal menjulang trofi Piala Dunia 2010, Afrika Selatan.

 

4-4-2

Formasi 4-4-2 merupakan strategi yang digunakan bagi pasukan England dalam Piala Dunia 2010, Afrika Selatan. Strategi yang digunakan England ini berjaya merangkul Piala Dunia pada tahun 1966. Strategi 4-4-2 ini merupakan strategi yang lazim digunakan oleh jurulatih sukan bola sepak merata dunia. Gambar rajah dibawah menunjukkan strategi 4-4-2 yang yang mempunyai empat pemain pertahanan, empat pemain pertengahan dan dua penyerang.

            Formasi 4-4-2 merupakan strategi yang mempunyai pemain pertahanan dan pertengahan yang seimbang. Strategi perlawanan menggunakan formasi 4-4-2 terletak pada kekuatan di bahagian pertengahan. Pemain pertengahan perlu bermain di semua bahagian, iaitu pertahanan, pertengahan dan membantu penyerang untuk melakukan serangan.

            Strategi permainan 4-4-2 bergantung kuat pada bahagian pertengahan. Konsep strategi ini dapat dilihat dalam peranan seorang pendidik khususnya pendidik Bahasa Melayu. Seorang pendidik Bahasa Melayu harus bergerak aktif di tiga kawasan, yakni sebagai pendidik, aktivis bahasa dan ketua keluarga. Seorang pendidik harus memastikan bahawa anak muridnya berjaya dalam pendidikan dan kehidupan. Sebagai aktivis bahasa pula, mereka perlu menyumbang kepada masyarakatnya. Tanggungjawab sebagai ketua keluarga; seorang pendidik bahasa perlu juga memastikan bahawa keluarganya tidak terabai.

            Pendidik bahasa memerlukan kekuatan mental, fizikal dan semangat yang cekal untuk memikul tanggungjawabnya seperti pemain pertengahan formasi 4-4-2. Mereka harus seimbang dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pendidik khususnya pendidik bahasa ibunda.

 

4-3-3

Formasi 4-3-3 dalam perlawanan bola sepak telah membawa pasukan Jerman Barat memenangi Piala Dunia pada tahun 1974. Strategi permainan ini sering digunakan oleh pasukan Belanda dan Spain. Pada tahun 1962, pasukan Brazil juga telah menggunakan strategi permainan 4-3-3 menewaskan Czechoslovakia 3-1 dan menjulang trofi Piala Dunia. Gambar rajah dibawah merupakan ilustrasi formasi 4-3-3 yang dipopularkan oleh pasukan Brazil dalam perlawanan Piala Dunia.

            Strategi formasi 4-3-3 adalah menyerang. Pasukan yang mengenakan stategi permainan 4-3-3 seperti pasukan Brazil mempunyai pemain penyerang yang mantap. Cara permainan 4-3-3 adalah untuk menyerang dan menjaringkan gol penamat. Konsep serangan ini wajar disemai dalam jiwa pendidik Bahasa Melayu. Serangan dalam konteks ini merujuk kepada perjuangan. Pemain bola sepak yang mengenakan strategi 4-3-3 berjuang untuk menjaringkan gol dengan serangan yang bertubi-tubi.

            Semangat yang sama wajar disemai dalam pendidik Bahasa Melayu. Seorang pendidik harus mempunyai semangat yang kental untuk memperjuangkan bahasa dan bangsanya, tanpa leksikon putus asa. Perjuangan untuk bahasa dan bangsa tidak akan selesai sehingga wisel penamat. Seorang pendidik Bahasa Melayu harus terus berjuang supaya ungkapan tidak Melayu hilang di dunia menjadi satu realiti.

 

Transformasi dalam Strategi

            Perlawanan bola sepak merupakan sukan yang kaya dengan strategi. Strategi dalam perlawanan bola sepak mempunyai variasi yang perlbagai. Misalnya, Piala Dunia 2010 Afrika Selatan, jurulatih pasukan Jerman, Joachim Loew, menggunakan formasi 4-5-1[iv], yakni empat pemain pertahanan, lima pemain di bahagian pertengahan dan seorang penyerang. Formasi 4-5-1 yang digunakan pasukan Jerman ini boleh dipelbagaikan. Misalnya, formasi 4-5-1 ini diberikan satu transformasi menjadi 4-2-3-1 seperti gambar rajah di bawah ini.

            Strategi 4-5-1 dan 4-2-3-1 ini merupakan strategi yang menumpukan permainan di bahagian pertengahan. Pasukan bola sepak yang menggunakan strategi ini lebih menumpukan strategi perlawanan kepada serangan balas (counter attack). Misalnya, jikalau pasukan diserang, pemain akan menggunakan strategi 4-5-1 untuk bertahan dan memastikan pihak lawan tidak dapat menjaringkan bola. Strategi 4-5-1 ini akan bertukar 4-2-3-1 apabila pemain ingin membuat serangan balas iaitu tiga pemain di bahagian pertengahan akan membantu penyerang utama untuk menjaringkan gol.

            Konsep transformasi dalam strategi permainan bola sepak ini boleh diapplikasikan dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Pendidik Bahasa Melayu perlu mempunyai minda  strategik. Misalnya, seorang guru boleh menilai sama ada kelas atau kuliah yang disampaikan itu membosankan ataupun tidak dengan melihat reaksi para pelajar. Pendidik strategik akan menggunakan konsep transformasi dalam strategi apabila kelas atau kuliah yang disampaikan didapatinya membosankan.

            Misalnya, dalam subjek Bahasa Melayu, komponen peribahasa. Umumnya, ramai pelajar mendapati bahawa menghafal senarai peribahasa merupakan sesuatu yang membosankan. Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah menghafal itu memang sesuatu yang membosankan bagai ramai pelajar. Namun, menghafal itu juga merupakan salah satu strategi yang berkesan khususnya dalam komponen peribahasa.

            Pendidik yang strategik akan memberikan transformasi dalam strategi yang digunakan. Dasar strategi yang digukaan adalah sama, iaitu menghafal. Namun, cara menggunakan strategi ini boleh ditransformasikan. Transformasi strategi ini boleh dilakukan dengan menggunakan kaedah penyampaian dalam pembelajaran yang berasaskan teknologi. Seperti contoh, peribahasa ‘buah tangan’ yang diambil daripada Senarai Peribahasa Dalam Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah Darjah 3 dan 4, membawa maksud ‘barang yang dibawa sebagai hadiah’[v].

            Transformasi dalam strategi penting khususnya bagi para pendidik supaya ilmu yang ingin disampaikan kepada anak murid tidak membosankan. Natijahnya, para pendidik harus fleksibel dalam mengubahsuai strategi yang digunakan supaya ilmu dapat disampaikan dengan sepenuhnya.

 

Kesimpulan

Setiap pasukan bola sepak memerlukan strategi dan formasi yang berbeza bagi setiap perlawanan. Bola sepak mempunyai pelbagai formasi dan setiap formasi boleh divariasikan mengikut kepentingan strategi perlawanan. Jelasnya, pemilihan strategi yang tepat merupakan kunci utama untuk memenangi perlawanan bola sepak. Hakikatnya, tidak kira sukan, kehidupan atau pelajaran, memupuk minda strategik merupakan kunci utama untuk mencapai sesuatu kejayaan.

 

Rujukan



[ii] The FIFA World Cup TV viewing figures (31 October 2007), diambil daripada http://www.fifa.com/mm/document/fifafacts/ffprojects/ip-401_05a_tvstats_9299.pdf

[iii] 34 Million Chinese Watched World Cup (12 June 2010), retrieved from, http://sg.news.yahoo.com/afp/20100612/tap-china-fbl-wc2010-media-viewers-8d4ea94.html

[iv] Germany Starting 11 Line up, Formation World Cup 2010 Football, diambil daripada http://www.stylehive.com/bookmark/germany-starting-11-line-up-formation-world-cup-2010-football-livestreamfreenet-1064105

[v] Senarai Peribahasa dalam Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah (19 June 2010), diambil daripada http://www.seab.gov.sg/psle/2010_PSLE_Subject_Info/0006_2010.pdf

Formasi Perlawanan, 4-4-2, 4-4-3, 4-5-1, 4-2-3-1, diambil daripada http://en.wikipedia.org/wiki/Formation_(association_football)#4.E2.80.932.E2.80.934

 

Monday, March 1, 2010

Sajak 'Arasy'





Arasy

  Dialah   memperlihatkan   kilat  
 diselubungi   hitam   kelat  
menyusun awan berat
tasbih sang kilat
Timbullah   ketakutan
keringat    pedih     siksaan
pujian       memanah      syaitan
memanjat    Arasy   mencuri    perbualan


Ariff Rizwan Sahab
2 Mac 2010  

(Sila klik pada video di atas)




Sunday, February 28, 2010

KAPSUL-279


KAPSUL-279


            Warna hitam pekat kelam mula menyerkah dada langit, membutakan bumi dengan kegelapan malam.  Bulan mula bertakhta dan bermaharajalela dengan senyuman cahayanya yang terpancar di bumbung langit.  Si bintang pula mula berdansa-dansa seperti dayang-dayang istana manakala sang pawana mengembus taat setianya kepada raja bulan. 

            Termenung.  Intan Nadia jauh termenung di sudut tingkap melihat si bintang sambil teringat nasib hidupnya. Sebak di hati Intan jika boleh ingin dikongsinya bersama bulan, supaya dapat tersenyum bersama.  Intan terfikir sejenak. Intan terfikir alangkah sucinya cinta itu jika ia setia seperti sang pawana.  Alangkan indahnya cinta itu seperti si bintang yang berdansa.  Alangkah bahagianya cinta itu seperti bulan yang tersenyum.  Namun, nasibnya tidak ubah seperti dada langit malam yang diselubungi hitam pekat kelam. 

            Sudah enam bulan Intan Nadia menganggur di rumah. Tidak ada satu firma yang sanggup mengambilnya kerja. Intan Nadia yang mempunyai ijazah dalam bidang farmaseutikal sudah lali dengan perasaan hampa dan kecewa.

****

            Dua ratus tujuh puluh sembilan.  Dua, tujuh dan sembilan.  Tiga angka yang cukup bersejarah dalam diari hidup Intan Nadia.  Intan Nadia tidak sanggup dihampakan kali ke dua ratus tujuh puluh sembilan.  Permohonan kerjanya sering ditolak serta-merta.  Alasan yang diberikan semuanya sama.  Dua, tujuh dan sembilan.  Permohonan kerjanya sering kali ditolak disebabkan berat badannya dua ratus tujuh puluh sembilan kilogram.

            Intan Nadia mendagu di bucu tingkap sambil teringat sejenak akan sesi temuduganya di Sitexcam Pharmaceuticals Pte Ltd.  Linangan air mata mula mencurah di pipi Intan Nadia, bukan disebabkan usahanya mencari kerja seperti mencurah air ke daun keladi tetapi disebabkan hatinya memberontak inginkan suara keadilan!

            “Awak gemuk.  Awak tidak boleh berkerja di syarikat kami.  Orang gemuk selalunya tidak sihat.  Susah hendak bergerak.  Immobility!  Saya cadangkan awak datang tahun hadapan selepas awak turunkan berat badan.  Syarikat kami tidak mahu mengambil pekerja gemuk seperti awak.”

            “Encik, ini tidak adil, Encik!  Saya berkelayakan!  Saya bukan calang-calang orang, Encik! Saya ada kelulusan tinggi!  Saya ada ijazah!  Saya scholar di Universiti Zoxford!  Encik pun tahu bukan, Universiti Zoxford top ten di dunia!  Universiti yang handal!  Universiti yang menghasilkan pakar-pakar khususnya dalam bidang farmaseutikal!”  Intan Nadia cuba menegakkan benang yang basah.  Berang kemarahan Intan Nadia mula kelihatan di mukanya yang merah padam.  

            “Maaf puan.  Saya akur bahawa puan memang berkelayakan.  Tetapi syarikat kami tidak boleh memberi puan kerja ini.  Syarikat kami memerlukan orang yang sihat, tidak mempunyai masalah kesihatan untuk bekerja di bahagian Penye­lidikan dan Pembangunan (R&D). Kami perlukan orang yang sihat, yang boleh bergerak sana sini, bukan orang gemuk seperti awak!” sindir pengurus itu. 

            “Tidak adil Encik!  Tidak adil!  Encik lihat sendiri dengan mata kepala Encik dalam borang permohonan ini!  Mana?! Mana ada syarat yang menghadkan berat badan?!  Encik tidak boleh menolak permohonan saya!  Saya berkelayakan!  Saya berkelayakan!”  Intan Nadia hilang sabar apabila mendengar kata-kata pegawai itu.  Nafasnya turun naik seperti lembu gila.  Intan Nadia mula menjerit-jerit meminta keadilan kerana dirasa dirinya telah dizalimi.

            Pengurus itu kemudian memicit butang merah di telefon ofisnya dah memanggil security. Intan Nadia diheret oleh tiga security keluar daripada bangunan Sitexcam Pharmaceuticals Pte Ltd yang berdiri segak setinggi lapan puluh tingkat itu.

****

            Guruh berdentam-dentum dan kilat sabung-menyabung, bagaikan sedang mengamuk liar di batas langit.  Gerimis datang untuk meredakan keadaan.  Kilat dan guruh kini kian mula reda.  Hujan yang turun bagaikan manik-manik mutiara yang bersinar terpercik ke muka Intan Nadia.  Lamunan Intan Nadia terhenti.  Intan Nadia perhatikan air hujan itu. Setitis demi setitis jatuh membasahi bumi yang subur menghijau. Bayu berpuput lembut.

            Jam di dinding menunjukkan pukul lapan setengah malam. Intan Nadia mengeluarkan kotak pilnya. Pelbagai pil ada. Pelbagai warna. Merah, hijau, kuning, merah jambu dan biru, semuanya tersusun rapi dalam kotak pil yang bertulis ‘SMTWTFS’. Intan Nadia membuka kotak ‘T’ untuk Thursday menandakan pil yang harus dimakannya pada hari itu. Intan Nadia meletakkan pil hijau dan biru ke telapak tangannya. Belum sempat diletakkannya dalam mulut, hatinya mula berbisik.

            “Pil, pil, pil! Hari-hari aku makan pil, tetapi tidak kurus-kurus! Bosan!”

            Intan Nadia kemudian membuka kotak ‘S’, ‘M’, ‘T’, ‘W’, ‘F’ dan ‘S’. Kesemua pilnya ada tujuh belas, pelbagai warna dan bentuk. 

            “Pil tak guna! Penipu! Haram jadah!”

            “Tidak logik!  Apakah pil-pil yang kecil ini betul-betul boleh kuruskan aku yang gemuk ini?!  Kalau ya, mengapa aku masih macam ni?!”

            Hampir tiga bulan Intan Nadia setia seperti sang pawana pada pil kuruskan badannya.  Sudah pelbagai yang dicubanya.  Tidak ada satu yang berjaya. Intan Nadia tekad lalu membuka laci mejanya.  Semua kotak ubatnya dihumbannya dalam tong hitam dengan rasa penuh benci.

****

            Intan Nadia memandang ke jam dinding. Jarum panjang menunjuk ke arah sembilan.  Tumpuan matanya beralih kepada plaque yang tertulis ‘Bachelor in Pharmeceutical Studies, University of Zoxford’. Perasaan benci Intan Nadia terus hilang diganti rasa bangga. Bayu yang berpuput lembut menyapa Intan Nadia dengan sebuah ilham. Intan Nadia tiba-tiba mendapat inspirasi yang selama ini membeku dibenak fikiran.

            “Pil kurus semuanya gagal! Sudah tiba aku menggunakan kepakaran aku dalam ilmu ubat-ubatan untuk menghasilkan pil aku yang tersendiri! Aku ingin menghasilkan pil yang boleh buat aku kurus dalam sekelip mata!” 

            Intan Nadia bergegas ke tong hitam dan mengutip semua kotak ubat yang dibuangnya. Intan Nadia kemudian mengambil nota-nota lama yang ditulis semasa menjadi penuntut di Universiti Zoxford. Di baca mukasurat notanya satu per satu. Intan Nadia kemudian menyalin kesemua bahan yang diperlukan dan diletakkan dalam satu senarai.


            Slimming Pill
            Benzodiazepines’
            ‘Fenfluramine’
            ‘Nictinamid’
            ‘Dieureti,
            ‘Guarana’       
            ‘L-carnitine’
            ‘Ephedra’
            ‘Phenylalanine’
            ‘Bisacodyl’

            Senna extract’

           Intan Nadia terhenti. Fikirannya melayang memikirkan sesuatu. Dia menumpukan perhatian yang sepenuhnya pada muka surat seratus enam puluh lima. 


“In order to promote quick weight loss, slimming pills include ingredients with a laxative effect, such as phenylalanine, bisacodyl and the natural plant extract Senna. Because laxatives encourage bowel movements and emptying of the intestines, an individual will weigh less after taking pills with laxatives.”


            Intan Nadia mendapat satu idea yang disangkanya bijak seperti sang kancil yang riang bermain di hutan rimba.

            “Jikalau aku ingin kurus dalam sekelip mata, aku perlu meletakkan lebih banyak phenylalanine, bisacodyl dan estrak Senna! Genius!”

****

            Intan Nadia mencampurkan semua pil yang dipungut dalam tong hitam lalu diletakkan kedalam mesin pengisar. Intan Nadia perlu meletakkan lebih banyak phenylalanine, bisacodyl dan estrak Senna. Phenylalanine lazimnya terdapat dalam ubat gigi. Bisacodyl pula merupakan senejis alkohol yang lazim digunakan dalam minyak wangi. Ekstrak Senna boleh didapati pada duri pokok kaktus. Di ambil semua bahan yang diperlukan lalu dikisar semuanya. 

            “Hahahaha! Akhirnya! Siap hasil ciptaan aku! Sekarang aku perlu mencubanya sendiri!”

            Semua bahan yang dikisar diletakkan dalam kapsul kosong.

            “Aku namakan hasil ciptaanku, Kapsul 279!!!” 

            Intan Nadia telah berjaya menghasilkan Kapsul 279. Kapsul 279 dinamakan sempena berat badannya dua ratus tujuh puluh sembilan kilogram. Kapsul 279 ini mempuyai hanya satu misi, yakni menguruskan Intan Nadia dalam sekelip mata! Kini, Intan Nadia hanya perlu mencuba ciptaannya. Walaupun Intan Nadia berasa terancan dan tergugat, dia nekad untuk mencuba Kapsul 279. Dia ingin mengurangkan berat badannya dalam sekelip mata. Intan Nadia berharap bahawa Kapsul 279 boleh membuatnya kurus dalam sekelip mata!

            Intan Nadia memejamkan matanya sambil mengira satu, dua dan tiga. Kapsul 279 ditelapak tangannya dimasukkan ke dalam rongga mulut. Intan Nadia menelan Kapsul 279 tanpa minum air. Intan Nadia takut jikalau molecules Hydrogen2Oxygen (H2O) dalam air akan mengagalkan Kapsul 279.

            “Gluupp!” Intan Nadia menelan Kapsul 279. Intan Nadia tercegat seketika seolah-olah dunia ini berhenti berputar. Intan Nadia merasakan seperti mendapat satu kejutan elektrik lalu rebah jatuh ke lantai. 

****

            Jarum panah pendek jam di dinding menunjuk ke arah 2. Kabus pagi menutupi senyuman bulan di dada langit. Angin sepoi bahasa masih setia menghembus nafas ke udara. Sejuk. Menggigil. Intan Nadia tersedar dari pengsannya.

            “Makkkk!!! Err...errr....huh?!!!” Intan Nadia bingung seperti budak yang baru belajar hendak merangkak.

            Tangannya terasa ringan... Intan Nadia meraba-raba mukanya...Dia terasa muka, tangan, badan dan kakinya sudah mengecil. Intan Nadia melihat susuk tubuhnya di hadapan cermin panjang dalam bilik tidur.

            “Kurus! Aku sudah kurus! Aku berjaya! Kapsul 279! Aku berjaya! Kurus! Hahahah! Aku sudah kurus!!!” Perkataan ‘kurus’ diulang Intan Nadia berkali-kali seolah-olah tidak percaya bahawa dirinya sudah kurus. Susuk badannya langsing mengalahkan artis kegemarannya Erra Fazura. Ciptaan Kapsul 279 Intan Nadia terbukti dapat menguruskan badannya dalam sekelip mata! Kini, Intan Nadia tidak perlu bimbang untuk ke temuduga buat kali ke dua ratus tujuh puluh sembilan! 


****


            Cermin panjang yang dahulu mengutuk susuk badannya yang gemok gedempol  kini mula memuji-muji kelangsingan Intan Nadia. Intan Nadia melihat susuk tubuhnya di hadapan cermin. Intan Nadia mula memuji-muji dirinya.  

            Intan Nadia meraba-raba mukanya. Kasar. Intan Nadia terasa seperti ada benda kasar tumbuh dimukanya. Benda kasar itu seperti bernyawa dan mula merebak ke seluruh mukanya. Intan Nadia melihat mukanya di cermin.

            ‘Kreeekkkk!!’ Cermin retak.

            Panik, bingung, resah gementar semuanya bermain di benak otak Intan Nadia. Intan Nadia seperti orang tidak tentu arah mencari-cari jawapan apa yang sudah terjadi kepada dirinya. Seperti lembu gila yang mernguis-guis kakinya ingin menyondol kain merah di gelanggang Las Ventas. Kulit di seluruh tubuhnya bertukar bersisik biru-biru kehijauan! Intan Nadia kelihatan seperti manusia bersisik ular!

            “Arghh! Tolong!!! Apa terjadi pada diriku?! Tolong!!! Tolong!!! Arghhh!!!”  Jeritan Intan Nadia tidak kedengaran oleh manusia yang sedang nyenyak dibuai mimpi indah yang berselimutkan kulit babi kerana mengingkari laungan ‘Assolatuhoirumminanaum!’ yang berkumandang di colong radio. Intan Nadia mengerang tidak tentu arah! Kesakitan dikulitnya terasa seperti lecur terkena besi cair.

            “Tidak mungkin! Kapsul 279! Kapsul 279 tidak mungkin gagal!! Aku berkelayakkan! Aku mahir dalam bidang ini! Kapsul 279 tidak mungkin gagal!! TIDAK MUNGKIN!!!” Intan Nadia mula mengganas tidak dapat menerima kenyataan. Semua barangan dalam rumah habis pecah dikerjakan amuknya.

            Intan Nadia melompat keluar dari tingkap tempat dia mendagu termenung tadi. Dia berlari sekuat hatinya menuju ke hutan rimba. Takut dipandang orang. Takut dipanggil ‘RAKSASA’! Ejekkan  ‘gemok’ itu dirasanya lebih mulia daripada ‘RAKSASA’! Seekor manusia bersisikkan ular! Raksasa! Intan Nadia mula mengganas mencakar pokok balak di hutan rimba! Balak sebesar enam pemeluk itu manjadi mangsa amukan Intan Nadia!

            Fajar di Selat Sunda mula menyingsing. Pantulan cahaya terik melemaskan penafasan Intan Nadia. Badannya yang bersisik ular berketul-ketul gagah perkasa itu mula lemah longlai. Intan Nadia rebah. Sisik-sisik di badan Intan Nadia mengeluarkan pantulan cahaya yang terang. Badannya seolah-olah seperti unggun api yang bernyala. Sisik-sisiknya ghaib ditelan cahaya suria.

****

            “Puan, bangun puan! Puan... .”

            “Doktor! Doktor! Puan Intan Nadia sudah sedar!” jerit jururawat yang tumpang gembira. Doktor bergegas mengeluarkan stetoskop lalu periksa Intan Nadia.

         Intan Nadia dijumpai orang asli puak Jalun. Seramai sepuluh orang asli puak Jalun diperlukan untuk mengangkat Intan Nadia. Berat badan Intan Nadia bukan lagi angka dua, tujuh dan sembilan tetapi tiga ratus tujuh puluh sembilan kilogram! 

            “Kapsul 279...Kapsul 279...Kapsul 279! Kapsul 279!! KAPSUL 279!!!” Intan Nadia terlantar di hospital. Sudah dua bulan dia terlantar tidak sedarkan diri. Koma. Hilang ingatan. Yang diingatnya hanya ‘Kapsul 279’.

  
                                    Kapsul 279!
                                               Gagal...

 



****Tamat****

           

Thursday, February 18, 2010

Untuk Kita Renungkan - Ebeit G. Ade


APRESIASI DALAM LAGU
‘UNTUK KITA RENUNGKAN’ OLEH EBEIT G. ADE



Biodata – Ebeit G. Ade

Ebiet G. Ade atau nama sebenarnya Abid Ghoffar bin Aboe Dja'far merupakan seorang penyayi dan penulis lagu yang akrab dengan alam dan duka derita kelompok tersisih. Lagu-lagunya yang bergenre balada telah berjaya mengukir suasana kehidupan pada akhir tahun 1970-an hingga ke masa kini. Lagunya-lagunya tidak hanya bertemakan cinta, malah bertemakan alam, sosial-politik, bencana, agama, keluarga dan lain-lain. Semua lagu merupakan hasil penulisan dan gubalan muziknya sendiri. Ebiet G. Ade juga tidak pernah menyanyikan lagu yang dicipta oleh orang lain. Nama Ebiet didapatnya dari pengalaman semasa menjalani kursus Bahasa Inggeris. Gurungan merupakan bangsa asing sering memanggilnya Ebiet. Nama ayahnya digunakan sebagai nama belakang yang disingkatkan menjadi AD, kemudia ditulis Ade untuk menyesuaikan bunyi penyebutannya, Ebeit G Ade. Jikalau dipanjangkan, namanya ditulis sebagai Ebiet Ghoffar Aboe Dja’far.

Pendahuluan

Muzik merupakan gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan meyenangkan (Kamus Dewan: 2007). Muzik adalah bunyian yang disusun secara sistematik dan mempunyai kualiti tersendiri. Penghasilan muzik yang berkualiti mempunyai penyusunan konsep muzik yang betul dan terperinci. Konsep muzik merangkumi irama, melodi, harmoni, tekstur, bentuk dan ekspresi.


Black Music

Lagu ‘Untuk Kita Renungkan’ merupakan jenis lagu ‘Black Music’. Konsep lagu Black Music adalah sebagai wadah untuk menyampaikan mesej. Menurut Brian Longhurst dalam buku Popular Music and Society,

“The music made by black people is related to their oppression in the United States and they point out that these oppression and inequality are often cut across by class, locality and so on.”

Lagu ‘Untuk Kita Renungkan’ dicipta oleh Ebeit G. Ade kaya dengan falsafah yang ingin disampaikan kepada pembaca. Mesej utama yang ingin disampaikan dalam lagu ini adalah mengajak manusia melakukan introspeksi diri.


Genre

Lagu ‘Untuk Kita Renungkan’ oleh Ebeit G Ade bergenre balada. Menurut J.E. Housman dalam British Popular Ballads, “a ballad is a form of verse, often a narrative and set to music.” Genre balada adalah lagu atau puisi yg panjang yg mengisahkan sebuah cerita. Misalnya dalam rangkap ini mengisahkan mengenai nasib kanak-kanak:

Anak menjerit-jerit, asap panas membakar

Lahar dan badai menyapu bersih

Ini bukan hukuman, hanya satu isyarat

Bahwa kita mesti banyak berbenah

Genre balada juga mempunyai baris yg diulang di hujung setiap rangkap. Seperti contoh:

Kita mesti berjuang memerangi diri

Bercermin dan banyaklah bercermin

Tuhan ada di sini di dalam jiwa ini

Berusahalah agar Dia tersenyum... oh

Berubahlah agar Dia tersenyum

Berdasarkan contoh di atas, jelas bahasa lagu ‘Untuk Kita Renungkan’ menepati genre balada.


Falsafah

Falsafah adalah kata serapan bahasa Arab dari istilah bahasa Yunani “philosophia”. Falsafah dapat ditakrifkan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain (Kamus Dewan 2007: 406).

Berfalsafah secara mudah dapat dimaksudkan sebagai memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam. Menurut Drs. Sidi Gazalba, berfikir secara berfalsafah menggandungi tiga ciri, iaitu radikal, sistematik dan sejagat. Radikal bermaksud berfikir secara mendalam bagi sesuatu masalah. Sistematik adalah berfikir secara logik manakala sejagat bersifat umum dan tidak terbatas. Berdasarkan tiga kriteria ini, ‘Lagu Untuk Kita’ kaya dengan falsafah yang berjaya diketengahkan oleh Ebeit G. Ade.


Falsafah dalam ‘Untuk Kita Renungkan’

Lirik lagu yang digubal oleh Ebeit G. Ade menonjolkan pemikiran berfalsafah. Seperti contoh:

‘Kita mesti terlanjang dan benar-benar bersih, suci lahir dari dalam batin’ merupakan falsafah yang menyampaikan erti kejujuran dan keikhlasan.

‘Tegoklah ke dalam sebelum bicara, singkirkan debu yang masih melekat’ pula mengajak pendengar supaya melakukan muhasabah supaya dapat memperbaiki diri. Seperti contoh, buang perasaan hasrat dengki dan prasangka buruk yang ada dalam diri manusia.

‘Cambuk kecil agar kita sadar’ sinomin dengan falsafah Melayu yakni ‘sudah terhantuk baru terngadah’ dimana manusia hanya sedar apabila diterima ujian atau musibah.

‘Bercermin dan banyaklah bercermin’ merupakan falsafah yang mendalam mengenai introspeksi diri.


Mesej dalam ‘Untuk Kita Renungkan’

Lirik lagu yang dicipta oleh Ebei G. Ade bukan sahaja kaya dengan falsafah, malah penuh dengan mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan kepada pendengar untuk dihayati. Seperti contoh:

‘Bahwa kita mesti banyak berbenah’ bermaksud kita harus memperbaiki diri kita. Dalam konteks lagu ini, anggaplah musibah atau cabaran itu sebagai satu teguran supaya kita memperbaiki diri kita.

‘Dalam kekalutan, masih banyak tangan, yang tega berbuat nista’ pula merupakan pengajaran bersifat sinis yang bermaksud dalam kesusahan ada orang yang ingin mengambil kesempatan dalam kesempitan.

‘Kemanakah lagi kita kan sembunyi, hanya kepadaNya kita kembali’ menyampaikan maksud, kita harus jujur kepada diri kita sendiri.

‘Berusahalah agar Dia tersenyum’ pula bermaksud kita berusaha supaya kita mendapat keredhaan daripada Tuhan.


Gaya Bahasa

Segala aspek falsafah dan mesej yang dibincangkan tidak akan mempunyai nilai estetika tanpa unsur kepuisian yang direalisasikan melalui aspek metafora. Unsur kepuisian ini bukan sahaja dapat menghidupkan unsur imejan kepada pendengar malah menimbulkan variasi dan keanekaragaman bahasa.


Metafora

Menurut Maniyamin Haji Ibrahim dalam Gaya Bahasa Kiasan (2008: 45), metafora adalah gaya bahasa kiasan atau perbandingan yang menyebut dual hal tanpa menggunakan kata-kata perbandingan.Unsur metafora ini dapat dilihat dalam lagu ‘Untuk Kita Renungkan’. Misalnya, ‘asap panas membakar’ dan ‘badai menyapu bersih’ merupakan unsur metafora yang dapat memberikan gambaran kepada pendengar selain mempunyai nilai estetika dalam lirik lagu.


Penutup

Muzik merupakan wadah yang amat berkesan bagi menyampaikan dakwah dalam bentuk hiburan. Dakwah merupakan satu perkara yang memerlukan satu usaha atau kesungguhan sama ada secara amali atau teori bagi mencapai objektif, tujuan atau motif yang digariskan. Lagu ‘Untuk Kita Renungkan’ berjaya menyampaikan unsur dakwah ini sambil menghiburkan pendengar dan berjaya menyelitkan unsur falsafah dalam mesej yang ingin disampaikan.


Rujukan

J. E. Housman, British Popular Ballads (1952, London: Ayer Publishing, 1969)


Drs. Sidi Gazalba dalam Sistematika Filsafat: Pengantar Kepada Dunia Filsfat, Teori Pengetahuan, Metafika, Teori Nilai. - Kuala Lumpur (Penerbitan Utusan Melayu Berhad)


http://www.ebietgade.com/