Tuesday, June 22, 2010

Formasi Piala Dunia Memupuk Minda Strategik


"In real life, strategy is actually very straightforward. You pick a general direction and implement like hell"


Jack Welch in Winning, 2005

 

Formasi Piala Dunia Memupuk Minda Strategik

 

Piala Dunia

Piala Dunia FIFA (Federation Internationale de Football Association) atau lebih dikenali sebagai Piala Dunia, merupakan pertandingan yang paling penting dalam dunia sukan bola sepak. Piala Dunia ini diadakan setiap empat tahun sekali semenjak tahun 1930, kecuali pada tahun 1942 dan 1946 disebabkan Perang Dunia Kedua[i]. Namun, perlawanan piala dunia merupakan kejohanan yang sentiasa dipertandingkan. Ini disebabkan pertandingan kelayakan mengambil masa selama tiga tahun.

            Fasa pertandingan akhir atau pusingan terakhir Piala Dunia lazimnya melibatkan sebanyak 32 pasukan kebangsaan yang akan bertanding selama empat minggu. Perlawanan selama empat minggu ini akan diadakan di negara tuan rumah. Pada 2010, negara tuan rumah bagi Piala Dunia adalah Afrika Selatan. Piala Dunia merupakan kejohanan yang paling ramai penontonnya. FIFA menganggarkan seramai 26 billion khalayak penonton (cumulative audience of the 64 matches), menonton Piala Dunia[ii].  Misalnya, di negara China di anggarkan seramai 34 juta rakyatnya menonton perlawanan pembukaan bola sepak Piala Dunia 2010[iii].

            Ternyata bahawa Piala Dunia telah mendapat tempat di hati penonton di merata dunia. Salah satu sebab mengapa Piala Dunia diminati dan ditonton ramai adalah strategi permainan yang berbeza bagi setiap negara. Negara yang mempunyai strategi yang tepat merupakan negara yang bakal menjulang trofi Piala Dunia 2010, Afrika Selatan.

 

4-4-2

Formasi 4-4-2 merupakan strategi yang digunakan bagi pasukan England dalam Piala Dunia 2010, Afrika Selatan. Strategi yang digunakan England ini berjaya merangkul Piala Dunia pada tahun 1966. Strategi 4-4-2 ini merupakan strategi yang lazim digunakan oleh jurulatih sukan bola sepak merata dunia. Gambar rajah dibawah menunjukkan strategi 4-4-2 yang yang mempunyai empat pemain pertahanan, empat pemain pertengahan dan dua penyerang.

            Formasi 4-4-2 merupakan strategi yang mempunyai pemain pertahanan dan pertengahan yang seimbang. Strategi perlawanan menggunakan formasi 4-4-2 terletak pada kekuatan di bahagian pertengahan. Pemain pertengahan perlu bermain di semua bahagian, iaitu pertahanan, pertengahan dan membantu penyerang untuk melakukan serangan.

            Strategi permainan 4-4-2 bergantung kuat pada bahagian pertengahan. Konsep strategi ini dapat dilihat dalam peranan seorang pendidik khususnya pendidik Bahasa Melayu. Seorang pendidik Bahasa Melayu harus bergerak aktif di tiga kawasan, yakni sebagai pendidik, aktivis bahasa dan ketua keluarga. Seorang pendidik harus memastikan bahawa anak muridnya berjaya dalam pendidikan dan kehidupan. Sebagai aktivis bahasa pula, mereka perlu menyumbang kepada masyarakatnya. Tanggungjawab sebagai ketua keluarga; seorang pendidik bahasa perlu juga memastikan bahawa keluarganya tidak terabai.

            Pendidik bahasa memerlukan kekuatan mental, fizikal dan semangat yang cekal untuk memikul tanggungjawabnya seperti pemain pertengahan formasi 4-4-2. Mereka harus seimbang dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pendidik khususnya pendidik bahasa ibunda.

 

4-3-3

Formasi 4-3-3 dalam perlawanan bola sepak telah membawa pasukan Jerman Barat memenangi Piala Dunia pada tahun 1974. Strategi permainan ini sering digunakan oleh pasukan Belanda dan Spain. Pada tahun 1962, pasukan Brazil juga telah menggunakan strategi permainan 4-3-3 menewaskan Czechoslovakia 3-1 dan menjulang trofi Piala Dunia. Gambar rajah dibawah merupakan ilustrasi formasi 4-3-3 yang dipopularkan oleh pasukan Brazil dalam perlawanan Piala Dunia.

            Strategi formasi 4-3-3 adalah menyerang. Pasukan yang mengenakan stategi permainan 4-3-3 seperti pasukan Brazil mempunyai pemain penyerang yang mantap. Cara permainan 4-3-3 adalah untuk menyerang dan menjaringkan gol penamat. Konsep serangan ini wajar disemai dalam jiwa pendidik Bahasa Melayu. Serangan dalam konteks ini merujuk kepada perjuangan. Pemain bola sepak yang mengenakan strategi 4-3-3 berjuang untuk menjaringkan gol dengan serangan yang bertubi-tubi.

            Semangat yang sama wajar disemai dalam pendidik Bahasa Melayu. Seorang pendidik harus mempunyai semangat yang kental untuk memperjuangkan bahasa dan bangsanya, tanpa leksikon putus asa. Perjuangan untuk bahasa dan bangsa tidak akan selesai sehingga wisel penamat. Seorang pendidik Bahasa Melayu harus terus berjuang supaya ungkapan tidak Melayu hilang di dunia menjadi satu realiti.

 

Transformasi dalam Strategi

            Perlawanan bola sepak merupakan sukan yang kaya dengan strategi. Strategi dalam perlawanan bola sepak mempunyai variasi yang perlbagai. Misalnya, Piala Dunia 2010 Afrika Selatan, jurulatih pasukan Jerman, Joachim Loew, menggunakan formasi 4-5-1[iv], yakni empat pemain pertahanan, lima pemain di bahagian pertengahan dan seorang penyerang. Formasi 4-5-1 yang digunakan pasukan Jerman ini boleh dipelbagaikan. Misalnya, formasi 4-5-1 ini diberikan satu transformasi menjadi 4-2-3-1 seperti gambar rajah di bawah ini.

            Strategi 4-5-1 dan 4-2-3-1 ini merupakan strategi yang menumpukan permainan di bahagian pertengahan. Pasukan bola sepak yang menggunakan strategi ini lebih menumpukan strategi perlawanan kepada serangan balas (counter attack). Misalnya, jikalau pasukan diserang, pemain akan menggunakan strategi 4-5-1 untuk bertahan dan memastikan pihak lawan tidak dapat menjaringkan bola. Strategi 4-5-1 ini akan bertukar 4-2-3-1 apabila pemain ingin membuat serangan balas iaitu tiga pemain di bahagian pertengahan akan membantu penyerang utama untuk menjaringkan gol.

            Konsep transformasi dalam strategi permainan bola sepak ini boleh diapplikasikan dalam pembelajaran Bahasa Melayu. Pendidik Bahasa Melayu perlu mempunyai minda  strategik. Misalnya, seorang guru boleh menilai sama ada kelas atau kuliah yang disampaikan itu membosankan ataupun tidak dengan melihat reaksi para pelajar. Pendidik strategik akan menggunakan konsep transformasi dalam strategi apabila kelas atau kuliah yang disampaikan didapatinya membosankan.

            Misalnya, dalam subjek Bahasa Melayu, komponen peribahasa. Umumnya, ramai pelajar mendapati bahawa menghafal senarai peribahasa merupakan sesuatu yang membosankan. Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah menghafal itu memang sesuatu yang membosankan bagai ramai pelajar. Namun, menghafal itu juga merupakan salah satu strategi yang berkesan khususnya dalam komponen peribahasa.

            Pendidik yang strategik akan memberikan transformasi dalam strategi yang digunakan. Dasar strategi yang digukaan adalah sama, iaitu menghafal. Namun, cara menggunakan strategi ini boleh ditransformasikan. Transformasi strategi ini boleh dilakukan dengan menggunakan kaedah penyampaian dalam pembelajaran yang berasaskan teknologi. Seperti contoh, peribahasa ‘buah tangan’ yang diambil daripada Senarai Peribahasa Dalam Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah Darjah 3 dan 4, membawa maksud ‘barang yang dibawa sebagai hadiah’[v].

            Transformasi dalam strategi penting khususnya bagi para pendidik supaya ilmu yang ingin disampaikan kepada anak murid tidak membosankan. Natijahnya, para pendidik harus fleksibel dalam mengubahsuai strategi yang digunakan supaya ilmu dapat disampaikan dengan sepenuhnya.

 

Kesimpulan

Setiap pasukan bola sepak memerlukan strategi dan formasi yang berbeza bagi setiap perlawanan. Bola sepak mempunyai pelbagai formasi dan setiap formasi boleh divariasikan mengikut kepentingan strategi perlawanan. Jelasnya, pemilihan strategi yang tepat merupakan kunci utama untuk memenangi perlawanan bola sepak. Hakikatnya, tidak kira sukan, kehidupan atau pelajaran, memupuk minda strategik merupakan kunci utama untuk mencapai sesuatu kejayaan.

 

Rujukan



[ii] The FIFA World Cup TV viewing figures (31 October 2007), diambil daripada http://www.fifa.com/mm/document/fifafacts/ffprojects/ip-401_05a_tvstats_9299.pdf

[iii] 34 Million Chinese Watched World Cup (12 June 2010), retrieved from, http://sg.news.yahoo.com/afp/20100612/tap-china-fbl-wc2010-media-viewers-8d4ea94.html

[iv] Germany Starting 11 Line up, Formation World Cup 2010 Football, diambil daripada http://www.stylehive.com/bookmark/germany-starting-11-line-up-formation-world-cup-2010-football-livestreamfreenet-1064105

[v] Senarai Peribahasa dalam Sukatan Pelajaran Sekolah Rendah (19 June 2010), diambil daripada http://www.seab.gov.sg/psle/2010_PSLE_Subject_Info/0006_2010.pdf

Formasi Perlawanan, 4-4-2, 4-4-3, 4-5-1, 4-2-3-1, diambil daripada http://en.wikipedia.org/wiki/Formation_(association_football)#4.E2.80.932.E2.80.934