Sunday, February 28, 2010

KAPSUL-279


KAPSUL-279


            Warna hitam pekat kelam mula menyerkah dada langit, membutakan bumi dengan kegelapan malam.  Bulan mula bertakhta dan bermaharajalela dengan senyuman cahayanya yang terpancar di bumbung langit.  Si bintang pula mula berdansa-dansa seperti dayang-dayang istana manakala sang pawana mengembus taat setianya kepada raja bulan. 

            Termenung.  Intan Nadia jauh termenung di sudut tingkap melihat si bintang sambil teringat nasib hidupnya. Sebak di hati Intan jika boleh ingin dikongsinya bersama bulan, supaya dapat tersenyum bersama.  Intan terfikir sejenak. Intan terfikir alangkah sucinya cinta itu jika ia setia seperti sang pawana.  Alangkan indahnya cinta itu seperti si bintang yang berdansa.  Alangkah bahagianya cinta itu seperti bulan yang tersenyum.  Namun, nasibnya tidak ubah seperti dada langit malam yang diselubungi hitam pekat kelam. 

            Sudah enam bulan Intan Nadia menganggur di rumah. Tidak ada satu firma yang sanggup mengambilnya kerja. Intan Nadia yang mempunyai ijazah dalam bidang farmaseutikal sudah lali dengan perasaan hampa dan kecewa.

****

            Dua ratus tujuh puluh sembilan.  Dua, tujuh dan sembilan.  Tiga angka yang cukup bersejarah dalam diari hidup Intan Nadia.  Intan Nadia tidak sanggup dihampakan kali ke dua ratus tujuh puluh sembilan.  Permohonan kerjanya sering ditolak serta-merta.  Alasan yang diberikan semuanya sama.  Dua, tujuh dan sembilan.  Permohonan kerjanya sering kali ditolak disebabkan berat badannya dua ratus tujuh puluh sembilan kilogram.

            Intan Nadia mendagu di bucu tingkap sambil teringat sejenak akan sesi temuduganya di Sitexcam Pharmaceuticals Pte Ltd.  Linangan air mata mula mencurah di pipi Intan Nadia, bukan disebabkan usahanya mencari kerja seperti mencurah air ke daun keladi tetapi disebabkan hatinya memberontak inginkan suara keadilan!

            “Awak gemuk.  Awak tidak boleh berkerja di syarikat kami.  Orang gemuk selalunya tidak sihat.  Susah hendak bergerak.  Immobility!  Saya cadangkan awak datang tahun hadapan selepas awak turunkan berat badan.  Syarikat kami tidak mahu mengambil pekerja gemuk seperti awak.”

            “Encik, ini tidak adil, Encik!  Saya berkelayakan!  Saya bukan calang-calang orang, Encik! Saya ada kelulusan tinggi!  Saya ada ijazah!  Saya scholar di Universiti Zoxford!  Encik pun tahu bukan, Universiti Zoxford top ten di dunia!  Universiti yang handal!  Universiti yang menghasilkan pakar-pakar khususnya dalam bidang farmaseutikal!”  Intan Nadia cuba menegakkan benang yang basah.  Berang kemarahan Intan Nadia mula kelihatan di mukanya yang merah padam.  

            “Maaf puan.  Saya akur bahawa puan memang berkelayakan.  Tetapi syarikat kami tidak boleh memberi puan kerja ini.  Syarikat kami memerlukan orang yang sihat, tidak mempunyai masalah kesihatan untuk bekerja di bahagian Penye­lidikan dan Pembangunan (R&D). Kami perlukan orang yang sihat, yang boleh bergerak sana sini, bukan orang gemuk seperti awak!” sindir pengurus itu. 

            “Tidak adil Encik!  Tidak adil!  Encik lihat sendiri dengan mata kepala Encik dalam borang permohonan ini!  Mana?! Mana ada syarat yang menghadkan berat badan?!  Encik tidak boleh menolak permohonan saya!  Saya berkelayakan!  Saya berkelayakan!”  Intan Nadia hilang sabar apabila mendengar kata-kata pegawai itu.  Nafasnya turun naik seperti lembu gila.  Intan Nadia mula menjerit-jerit meminta keadilan kerana dirasa dirinya telah dizalimi.

            Pengurus itu kemudian memicit butang merah di telefon ofisnya dah memanggil security. Intan Nadia diheret oleh tiga security keluar daripada bangunan Sitexcam Pharmaceuticals Pte Ltd yang berdiri segak setinggi lapan puluh tingkat itu.

****

            Guruh berdentam-dentum dan kilat sabung-menyabung, bagaikan sedang mengamuk liar di batas langit.  Gerimis datang untuk meredakan keadaan.  Kilat dan guruh kini kian mula reda.  Hujan yang turun bagaikan manik-manik mutiara yang bersinar terpercik ke muka Intan Nadia.  Lamunan Intan Nadia terhenti.  Intan Nadia perhatikan air hujan itu. Setitis demi setitis jatuh membasahi bumi yang subur menghijau. Bayu berpuput lembut.

            Jam di dinding menunjukkan pukul lapan setengah malam. Intan Nadia mengeluarkan kotak pilnya. Pelbagai pil ada. Pelbagai warna. Merah, hijau, kuning, merah jambu dan biru, semuanya tersusun rapi dalam kotak pil yang bertulis ‘SMTWTFS’. Intan Nadia membuka kotak ‘T’ untuk Thursday menandakan pil yang harus dimakannya pada hari itu. Intan Nadia meletakkan pil hijau dan biru ke telapak tangannya. Belum sempat diletakkannya dalam mulut, hatinya mula berbisik.

            “Pil, pil, pil! Hari-hari aku makan pil, tetapi tidak kurus-kurus! Bosan!”

            Intan Nadia kemudian membuka kotak ‘S’, ‘M’, ‘T’, ‘W’, ‘F’ dan ‘S’. Kesemua pilnya ada tujuh belas, pelbagai warna dan bentuk. 

            “Pil tak guna! Penipu! Haram jadah!”

            “Tidak logik!  Apakah pil-pil yang kecil ini betul-betul boleh kuruskan aku yang gemuk ini?!  Kalau ya, mengapa aku masih macam ni?!”

            Hampir tiga bulan Intan Nadia setia seperti sang pawana pada pil kuruskan badannya.  Sudah pelbagai yang dicubanya.  Tidak ada satu yang berjaya. Intan Nadia tekad lalu membuka laci mejanya.  Semua kotak ubatnya dihumbannya dalam tong hitam dengan rasa penuh benci.

****

            Intan Nadia memandang ke jam dinding. Jarum panjang menunjuk ke arah sembilan.  Tumpuan matanya beralih kepada plaque yang tertulis ‘Bachelor in Pharmeceutical Studies, University of Zoxford’. Perasaan benci Intan Nadia terus hilang diganti rasa bangga. Bayu yang berpuput lembut menyapa Intan Nadia dengan sebuah ilham. Intan Nadia tiba-tiba mendapat inspirasi yang selama ini membeku dibenak fikiran.

            “Pil kurus semuanya gagal! Sudah tiba aku menggunakan kepakaran aku dalam ilmu ubat-ubatan untuk menghasilkan pil aku yang tersendiri! Aku ingin menghasilkan pil yang boleh buat aku kurus dalam sekelip mata!” 

            Intan Nadia bergegas ke tong hitam dan mengutip semua kotak ubat yang dibuangnya. Intan Nadia kemudian mengambil nota-nota lama yang ditulis semasa menjadi penuntut di Universiti Zoxford. Di baca mukasurat notanya satu per satu. Intan Nadia kemudian menyalin kesemua bahan yang diperlukan dan diletakkan dalam satu senarai.


            Slimming Pill
            Benzodiazepines’
            ‘Fenfluramine’
            ‘Nictinamid’
            ‘Dieureti,
            ‘Guarana’       
            ‘L-carnitine’
            ‘Ephedra’
            ‘Phenylalanine’
            ‘Bisacodyl’

            Senna extract’

           Intan Nadia terhenti. Fikirannya melayang memikirkan sesuatu. Dia menumpukan perhatian yang sepenuhnya pada muka surat seratus enam puluh lima. 


“In order to promote quick weight loss, slimming pills include ingredients with a laxative effect, such as phenylalanine, bisacodyl and the natural plant extract Senna. Because laxatives encourage bowel movements and emptying of the intestines, an individual will weigh less after taking pills with laxatives.”


            Intan Nadia mendapat satu idea yang disangkanya bijak seperti sang kancil yang riang bermain di hutan rimba.

            “Jikalau aku ingin kurus dalam sekelip mata, aku perlu meletakkan lebih banyak phenylalanine, bisacodyl dan estrak Senna! Genius!”

****

            Intan Nadia mencampurkan semua pil yang dipungut dalam tong hitam lalu diletakkan kedalam mesin pengisar. Intan Nadia perlu meletakkan lebih banyak phenylalanine, bisacodyl dan estrak Senna. Phenylalanine lazimnya terdapat dalam ubat gigi. Bisacodyl pula merupakan senejis alkohol yang lazim digunakan dalam minyak wangi. Ekstrak Senna boleh didapati pada duri pokok kaktus. Di ambil semua bahan yang diperlukan lalu dikisar semuanya. 

            “Hahahaha! Akhirnya! Siap hasil ciptaan aku! Sekarang aku perlu mencubanya sendiri!”

            Semua bahan yang dikisar diletakkan dalam kapsul kosong.

            “Aku namakan hasil ciptaanku, Kapsul 279!!!” 

            Intan Nadia telah berjaya menghasilkan Kapsul 279. Kapsul 279 dinamakan sempena berat badannya dua ratus tujuh puluh sembilan kilogram. Kapsul 279 ini mempuyai hanya satu misi, yakni menguruskan Intan Nadia dalam sekelip mata! Kini, Intan Nadia hanya perlu mencuba ciptaannya. Walaupun Intan Nadia berasa terancan dan tergugat, dia nekad untuk mencuba Kapsul 279. Dia ingin mengurangkan berat badannya dalam sekelip mata. Intan Nadia berharap bahawa Kapsul 279 boleh membuatnya kurus dalam sekelip mata!

            Intan Nadia memejamkan matanya sambil mengira satu, dua dan tiga. Kapsul 279 ditelapak tangannya dimasukkan ke dalam rongga mulut. Intan Nadia menelan Kapsul 279 tanpa minum air. Intan Nadia takut jikalau molecules Hydrogen2Oxygen (H2O) dalam air akan mengagalkan Kapsul 279.

            “Gluupp!” Intan Nadia menelan Kapsul 279. Intan Nadia tercegat seketika seolah-olah dunia ini berhenti berputar. Intan Nadia merasakan seperti mendapat satu kejutan elektrik lalu rebah jatuh ke lantai. 

****

            Jarum panah pendek jam di dinding menunjuk ke arah 2. Kabus pagi menutupi senyuman bulan di dada langit. Angin sepoi bahasa masih setia menghembus nafas ke udara. Sejuk. Menggigil. Intan Nadia tersedar dari pengsannya.

            “Makkkk!!! Err...errr....huh?!!!” Intan Nadia bingung seperti budak yang baru belajar hendak merangkak.

            Tangannya terasa ringan... Intan Nadia meraba-raba mukanya...Dia terasa muka, tangan, badan dan kakinya sudah mengecil. Intan Nadia melihat susuk tubuhnya di hadapan cermin panjang dalam bilik tidur.

            “Kurus! Aku sudah kurus! Aku berjaya! Kapsul 279! Aku berjaya! Kurus! Hahahah! Aku sudah kurus!!!” Perkataan ‘kurus’ diulang Intan Nadia berkali-kali seolah-olah tidak percaya bahawa dirinya sudah kurus. Susuk badannya langsing mengalahkan artis kegemarannya Erra Fazura. Ciptaan Kapsul 279 Intan Nadia terbukti dapat menguruskan badannya dalam sekelip mata! Kini, Intan Nadia tidak perlu bimbang untuk ke temuduga buat kali ke dua ratus tujuh puluh sembilan! 


****


            Cermin panjang yang dahulu mengutuk susuk badannya yang gemok gedempol  kini mula memuji-muji kelangsingan Intan Nadia. Intan Nadia melihat susuk tubuhnya di hadapan cermin. Intan Nadia mula memuji-muji dirinya.  

            Intan Nadia meraba-raba mukanya. Kasar. Intan Nadia terasa seperti ada benda kasar tumbuh dimukanya. Benda kasar itu seperti bernyawa dan mula merebak ke seluruh mukanya. Intan Nadia melihat mukanya di cermin.

            ‘Kreeekkkk!!’ Cermin retak.

            Panik, bingung, resah gementar semuanya bermain di benak otak Intan Nadia. Intan Nadia seperti orang tidak tentu arah mencari-cari jawapan apa yang sudah terjadi kepada dirinya. Seperti lembu gila yang mernguis-guis kakinya ingin menyondol kain merah di gelanggang Las Ventas. Kulit di seluruh tubuhnya bertukar bersisik biru-biru kehijauan! Intan Nadia kelihatan seperti manusia bersisik ular!

            “Arghh! Tolong!!! Apa terjadi pada diriku?! Tolong!!! Tolong!!! Arghhh!!!”  Jeritan Intan Nadia tidak kedengaran oleh manusia yang sedang nyenyak dibuai mimpi indah yang berselimutkan kulit babi kerana mengingkari laungan ‘Assolatuhoirumminanaum!’ yang berkumandang di colong radio. Intan Nadia mengerang tidak tentu arah! Kesakitan dikulitnya terasa seperti lecur terkena besi cair.

            “Tidak mungkin! Kapsul 279! Kapsul 279 tidak mungkin gagal!! Aku berkelayakkan! Aku mahir dalam bidang ini! Kapsul 279 tidak mungkin gagal!! TIDAK MUNGKIN!!!” Intan Nadia mula mengganas tidak dapat menerima kenyataan. Semua barangan dalam rumah habis pecah dikerjakan amuknya.

            Intan Nadia melompat keluar dari tingkap tempat dia mendagu termenung tadi. Dia berlari sekuat hatinya menuju ke hutan rimba. Takut dipandang orang. Takut dipanggil ‘RAKSASA’! Ejekkan  ‘gemok’ itu dirasanya lebih mulia daripada ‘RAKSASA’! Seekor manusia bersisikkan ular! Raksasa! Intan Nadia mula mengganas mencakar pokok balak di hutan rimba! Balak sebesar enam pemeluk itu manjadi mangsa amukan Intan Nadia!

            Fajar di Selat Sunda mula menyingsing. Pantulan cahaya terik melemaskan penafasan Intan Nadia. Badannya yang bersisik ular berketul-ketul gagah perkasa itu mula lemah longlai. Intan Nadia rebah. Sisik-sisik di badan Intan Nadia mengeluarkan pantulan cahaya yang terang. Badannya seolah-olah seperti unggun api yang bernyala. Sisik-sisiknya ghaib ditelan cahaya suria.

****

            “Puan, bangun puan! Puan... .”

            “Doktor! Doktor! Puan Intan Nadia sudah sedar!” jerit jururawat yang tumpang gembira. Doktor bergegas mengeluarkan stetoskop lalu periksa Intan Nadia.

         Intan Nadia dijumpai orang asli puak Jalun. Seramai sepuluh orang asli puak Jalun diperlukan untuk mengangkat Intan Nadia. Berat badan Intan Nadia bukan lagi angka dua, tujuh dan sembilan tetapi tiga ratus tujuh puluh sembilan kilogram! 

            “Kapsul 279...Kapsul 279...Kapsul 279! Kapsul 279!! KAPSUL 279!!!” Intan Nadia terlantar di hospital. Sudah dua bulan dia terlantar tidak sedarkan diri. Koma. Hilang ingatan. Yang diingatnya hanya ‘Kapsul 279’.

  
                                    Kapsul 279!
                                               Gagal...

 



****Tamat****

           

No comments:

Post a Comment