Thursday, February 18, 2010

New Journalism


Pendekatan New Journalism dalam Cerpen ‘Atuk’

Sinopsis

Cerpen Atuk dalam buku antologi cerpen Diari Hitam mengisahkah tentang unsur kejiwaan seorang anak yang menunjukkan sikap menentang dan agresif. Anak ini kehilangan kasih sayang daripada ayah dan ibu. Apabila meningkat dewasa, naluri agresif ini memuncak dengan adanya pengaruh daripada teman-teman yang merokok, melepak dan merusuh. Anak ini termakan hasutan oleh rakan-rakannya yang mengajaknya memecahkan locker di sebuah kolam renang untuk mencuri barang-barang. Akhirnya, anak ini ditangkap dan dimasukkan ke Rumah Tumpangan Wanita.

Teori New Journalism

Cerpen ini merupakan gaya penulisan kewartawanan baru atau dikenali sebagai new journalism berdasarkan beberapa kriteria yang terdapat dalam teori kewartawanan baru. Menurut Tom Wolfe dalam The Development of a “New Journalism”, terdapat empat teknik utama dalam penulisan kewartawanan baru atau new journalism. Selain daripada itu, terdapat juga gaya berita yang merupakan salah satu kriteria penulisan new journalism.

Teknik Babak Dramatik (The Dramatic Scene)

Penulisan gaya kewartawanan baru adalah untuk mengolah karya dengan memberikan gambaran yang dramatik dan terperinci (the reconstruction of the story as the action unfolds, in dramatic scenes, rather than through a summary of events). Misalnya dalam petikan berikut, “Nenek mengikatku di kerusi dengan tali rafia. Aku menggeliat untuk melepaskan diri. Aku menangis sekuat-kuat hati. Bekas ikatan kelihatan jelas di badanku.”

Teknik Dialog Rakaman Sepenuhnya (Recording Dialogue in Full)

Gaya penulisan berita atau laporan menyelitkan unsur dialog bagi menyampaikan berita atau laporan secara langsung kepada pembaca supaya unsur realisme wujud dalam berita atau laporan yang ingin disampaikan. Penulisan dialog rakaman sepenuhnya menurut Tom Wolfe adalah salah satu kriteria penulisan kewartawanan baru. Seperti contoh dalam petikan berikut:

“Kau kan Yasmin suka menyusahkan hidup aku. Apa lagi yang kau nak? Tak cukup ke apa yang aku beri kau selama ini? Mulai hari ini aku tak nak lihat kau campur budak-budak yang tak senonoh tu lagi. Kau faham tak? Kalau aku nampak kau dengan mereka lagi, siap kau!”

Aku mengangkat kakiku ke bilik. Abangku sedang duduk di katilku. “Eh! Abang buat apa di sini?”

“Dik, mengapa kau buat hal? Kau ni pun, nak buat hal tak kena pada tempatnya!”

“Sudahlah, Min malas nak dengar cerita ini lagi! Nenek dengan Atuk tahu tak tentang hal ini?”

“Tahu. Mama menelefon mereka selepas kawan-kawan telefon mama untuk memberitahu yang kau ditahan oleh polis. Sekarang, pandai-pandai kaulah jawab kepada mereka. Atuk betul-betul sedih bila dia mendapat tahu cerita ini.”

Petikan diatas ini menunjukkan bahawa dialog rakaman watak ditulis dengan sepenuhnya untuk menonjolkan kesan realisme dalam penulisan.

Teknik Penulisan Secara Terperinci (Status Details)

Penulisan kewartawanan baru menurut Tom Wolfe akan memberikan gambaran terperinci tentang sesuatu yang ingin disampaikan seperti contoh mencatit tingkah laku, kebiasaan, pakaian dan lain-lain dengan terperinci (recording the everyday gesture, habits, manners, customs, styles of furniture, clothing, decoration..by which people exprience their position in the world.) Misalnya dalam petikan berikut:

“Bapaku akan tiba pada pukul 12.30 nanti. Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 pagi. Masih ada sejam lagi untuk aku menunggu ayah. Aku menonton televisyen. Mataku begitu berat sekali. Aku terlelap dan tidur di atas sofa dengan nyenyak. Aku terjaga apabila terdengar suara ayah memberi salam. Dengan pantas, aku bangun dan masuk ke dalam bilik kakak saudaraku. Aku duduk di tepi katil. Aku terdengar tangisan ayah sedang berbual dengan makcikku.”

Petikan diatas menunjukkan gaya penulisan yang terperinci sehingga pembaca dapat membayangkan situasi berlaku sehingga dapat dirasai dan dihayati pembaca dengan mendalam sekali.

Teknik Sudut Pandangan (Point of View)

Pendekatan kewartawan baru ini merupakan penggunaan sudut pandangan orang ketiga dalam penceritaan. Misalnya penulis telah menjadi watak serba tahu dalam cerpen ini, seperti contoh:

“Yasmin, kau nak tahu apa? That time, aku, Shamil, Liyah pergi berenang di kolam renang. Selepas itu, kami pergi tour dan check locker-locker orang. Kita pecahkan locker mereka dan mendapat macam-macam sey... Kita dapat handphone, rokok, duit, macam heaven gitu dapat barang tu semua. Excited giler punya! So, aku dah decide hari Sabtu ini kita pergi bersama. Amaciam?”

Gaya Berita

Penerapan gaya berita memusat kepada perkara-perkara benar seperti apa yang terjadi, di mana terjadi, bila terjadi, siapa terlibat, mengapa terjadi dan bagaimana peristiwa atau insiden itu terjadi digambarkan secara kreatif dan menarik. Seperti contoh dalam petikan berikut:

“Hanya aku dah Liyah sahaja yang dibawa ke Balai Polis Thomson. Aku ditahan di Balai Polis selama 5 jam sebelum dibenarkan menelefon ibuku.”

“Selepas berbual dengan ibuku, aku memberi gagang telefon itu kepada seorang pegawai polis. Aku dihantar ke holding bay sementara menunggu kedatangan ibu.”

“Pegawai polis itu menyerahkan sepucuk surat yang ditandatanganinya.”

Berdasarkan petikan di atas, dapat dilihat bahawa terdapat penerapan gaya berita yang dimasukkan kerana petikan di atas menunjukkan gaya penulisan berita atau laporan dengan memberikan maklumat terperinci seperti Balai Polis Thomson, ditahan selama 5 jam, dihantar ke holding bay dan diikat jamin.

Kesimpulan

Novel ini telah berjaya merealisasikan pendekatan New Journalism. Penulis telah berjaya menyatukan sejarah hidupnya dalam penulisan kreatif supaya unsur didaktik dapat disampaikan kepada khalayak pembaca. Kekuatan cerpen ini terletak pada keupayaan penulis dalam menyampaikan unsur realisme dengan memberikan gambaran realistik sesuatu senario. Perjalanan hidup pahit manis yang dilalui oleh penulis dapat dihayati oleh pembaca menjadikan penulisan menarik dan realistik.

Rujukan

Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz (Ed.) (2009). Diari Hitam: Oxford Graphic Printers Pte Ltd (ISBN 978-981-08-2308-5)

Mohamed Pitchay Gani (2009). New Journalism, SATU BUMI MENYATUKAN SASTERA DAN SEJARAH, Retrieved 6 Febuari 2010 from http://pitchay.blogspot.com/2009/07/new-journalism.html


No comments:

Post a Comment